Monday, May 18, 2009

Kosmetik ancam hormon seks lelaki

Risiko kelahiran cacat, barah zakar, kurang sperma

LONDON: Bahan kimia dalam makanan, kosmetik dan produk pembersih bertanggungjawab 'mewanitakan' bayi lelaki yang belum lahir serta meningkatkan risiko barah dan ketidaksuburan pada lewat kehidupan mereka.

Salah seorang pakar biologi reproduktif terkemuka Britain, Profesor Richard Sharpe, berkata bahan berkenaan dikaitkan dengan pertambahan kadar kelahiran cacat dan barah zakar serta pengurangan jumlah sperma.

Laporan penasihat kerajaan yang disiarkan semalam ialah paling terperinci mengenai ancaman kimia kepada bayi lelaki yang menghalang tindakan hormon seks lelaki, testosterone, atau meniru hormon seks perempuan, oestrogen.


Profesor Sharpe berkata, kebanyakannya tidak berbahaya secara tersendiri tetapi memberi amaran kesan berganda membahayakan janin yang membesar dan menasihatkan wanita yang cuba mendapatkan anak supaya menjauhi bahan itu.

"Anda tidak boleh berbuat apa-apa mengenai kimia dalam persekitaran tetapi boleh mengawal apa yang didedahkan kepada bayi menerusi pilihan gaya hidup.

"Disebabkan kita tidak tahu senarai penuh kimia yang mengganggu hormon, dan kita tidak tahu bagaimana ia berinteraksi, kita tidak boleh menuding jari kepada bahan kimia tertentu. Mesej mengelakkan ia sama seperti anda perlu mengelakkan alkohol dan dadah," katanya.

Doktor bimbang mengenai peningkatan paras kelahiran cacat dengan tujuh peratus bayi lelaki Britain dilahirkan dengan masalah zakar dan tujuh dalam 1,000 dengan alat kemaluan cacat.

Anggaran terbaru menunjukkan satu dalam enam lelaki di Britain mempunyai masalah bilangan sperma rendah dan perlu berusaha keras untuk menghasilkan anak manakala bilangan barah zakar di kalangan lelaki dalam lingkungan usia 20-an dan 30-an berganda setiap 25 tahun

4 comments: